“Cuaknya….”
Barangkali inilah yang bermain-main di benak setiap pelajar tingkatan 5. Setelah 11 tahun menuntut di bangku sekolah, peperiksaan inilah yang akan menentukan hala tuju mereka selepas ini. Apakah persediaan yang adik-adik perlu lakukan di saat yang genting ini?
Di saat-saat akhir ini, adalah sangat penting bagi calon-calon SPM bertenang. Penting bagi mereka menjaga kesihatan mereka iaitu dengan memastikan mereka mengambil pemakanan yang sihat. Kalau boleh elakkan membeli makanan di luar. Sekiranya ada keperluan untuk membeli makanan di luar, pastikan restoran atau gerai tersebut merupakan bersih. Saya yakin, tiada siapa yang mahu jatuh sakit di kala tenaga dan badan yang sihat diperlukan untuk fokus ketika mentelaah. Jangan lupa untuk minum secukupnya.
Selain itu, uruskanlah masa dengan baik. Kenalpasti mana-mana topik yang perlu diberikan perhatian. Adalah lebih baik untuk menyusun jadual waktu belajar bagi memastikan setiap topik yang kurang difahami sempat untuk diulangkaji. Janganlah segan untuk bertanya kepada guru atau rakan yang lebih mahir. Ketekunan semasa belajar juga adalah perlu. Hadis Rasulullah s.a.w ada menyatakan bahawa “Sesungguhnya Allah menyukai (hambaNya) apabila melakukan sesuatu amalan dia akan tekun melakukannya”. Oleh itu, perlulah mengulangkaji dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
Tambahan lagi, perbaikilah juga solat dan perbanyakkan doa. Sebenar-benarnya kunci kepada kejayaan untuk setiap ujian dan peperiksaan yang kita tempuhi Allah yang tentukan. Oleh itu, adalah penting untuk memohon dan meminta kepada Allah agar menggolongkan kita dikalangan orang yang cemerlang.
Sekiranya menghadapi tekanan ketika mengulangkaji, berhentilah sebentar untuk berzikir, membaca al-Quran atau pun menunaikan solat sunat 2 rakaat. Ini kerana Allah telah menjanjikan dalam Surah Al-Ra’d ayat 28 “ orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram”. InsyaAllah, sekiranya pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah, hati akan menjadi kembali tenang dan tenteram. Selepas itu, sambunglah semula mentelaah pelajaran.
…لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا
Akhir sekali, saya ingin berkongsi ayat yang menjadi pegangan saya iaitu “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” surah al-Baqarah ayat 286. Ayat ini menyatakan walau seberatmanapun ujian yang Allah berikan kepada kita, ini ialah keran kita mampu untuk menanggung dan melakukannya. Sekiranya adik-adik diuji kesukaran di saat-saat genting ini, bersangka baiklah dengan Allah dan teruskan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Disamping itu, memohonlah doa dan restu ibu dan ayah kita. Sesungguhnya doa mereka turut membantu kita untuk memahami subjek-subjek yang sukar dan akhirnya memperoleh keputusan yang cemerlang (insyaAllah, ameeen).
Biro Akademik
Cik Afifah Hamzah
Guru SK Sri Tebrau
B.Ed TESL Queensland University of Technology, Brisbane Australia










